CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Khamis, 10 Julai 2008

MAJLIS ANGKAT SUMPAH & PERSIDANGAN DEWAN UNDANGAN NEGERI PERLIS


Semua wakil rakyat yang terpilih dalam pilihanraya umum yang lalu telah mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN ) Perlis..

Majlis angkat sumpah diadakan di hadapan Speaker yang baru, Dato' Yazid Mat, Dato' Dr Mat Isa Sabu mendahului semua Adun dalam upacara tersebut.

Wakil PAS, Rus'sele Eizan turut mengangkat sumpah sebagai Adun Simpang Empat. Beliau memenangi kerusi tersebut selepas mengalahkan calon Barisan Naional (BN) Zahari Bakar dengan majotiriti 53 undi.

Berikut adalah sebahagian soalan yang dikemukakan oleh YB Rus'sele Eizan pada persidangan Dewan Undangan Negeri Perlis pada 25 & 26 Jun yang lalu.

1. Sejauhmanakah projek membina dan menyiapkan sistem pengairan Tersier untuk Blok ARB 5, D1 Daerah MADA telah dilaksana sehingga kini? Nyatakan juga jumlah peruntukan, tarikh akhir penyiapan projek dan kontraktor yang dilantik bagi projek berkenaan?

2. Adakah kerajaan mendapat maklumbalas berhubung pengagihan bantuan pukat dan perahu kepada nelayan pantai di Negeri Perlis? sekiranya ada, apakah langkah yang diambil oleh kerajaan berhubung jaminan dan sokongan kepada golongan nelayan di negeri ini?

3. Adakah kerajaan negeri mempunyai perancangan bagi menaik taraf pekan-pekan kecil di negeri ini? sekiranya ada, nyatakan perancangan kerajaan di dalam program tersebut? nyatakan juga langkah-langkah khusus untuk mempastikan pekan-pekan kecil turut terlibat dengan arus pembangunan di peringkat negeri?

Khamis, 3 Julai 2008

Penghujahan petisyen Dun Simpang Empat 7 Julai ini

PETIKAN HARAKAH

KANGAR - Hakim Mahkamah Tinggi, Dato' Zainal Adzam Abdul Ghani memutuskan tarikh Isnin, 7 Julai untuk mendengar penjelasan tentang penghujahan berkaitan petisyen pilihan raya Dun N.14 Simpang Empat.

Petisyen dikemukakan calon Barisan Nasional (BN), Zahari Bakar berkaitan poster calon PAS dalam pilihan raya lalu yang tidak mempunyai nama pencetak dan menggunakan lambang kerajaan negeri Perlis.

Dalam pilihan raya lalu, Zahari tewas kepada calon PAS, Rus'sele Eizan dengan majoriti 53 undi.

18 Jun lalu, mahkamah membicarakan kes ini dengan Zahari selaku saksi tunggal dipanggil memberikan keterangan.

Hari ini, peguam yang mewakili Zahari, Abu Bakar As-Sidek baru mengemukakan penghujahan bertulis walaupun peguam yang mewakili Rus'sele bersedia untuk memberikan penghujahan lisan.

Zainal Adzam kemudiannya memutuskan untuk mendengar penjelasan berkaitan penghujahan tersebut Isnin depan.

Rus'sele diwakili peguam Mohamed Hanipa Maidin dan Zulmi Sabri.

Adun PAS dilantik anggotai PAC Perlis

PETIKAN HARAKAH

KANGAR, - Dewan Undangan Negeri (Dun) Perlis yang bersidang hari ini bersetuju melantik wakil pembangkang menganggotai Jawatatankuasa Kira-kira Wang Negeri.

Rus'sele Eizan (PAS-Simpang Empat) telah dipilih menjadi salah seorang ahli jawatankuasa berkenaan dengan undi sebulat suara selepas usul berkenaan dikemukakan kepada sidang dewan tengah hari tadi.

Usul tersebut dikemukakan oleh Exco Kerajaan Negeri Dato' Seri Utama Syed Razlan Putra Jamalullail dan disokong oleh seorang lagi Exco, Sabry Ahmad.

Tiga orang lagi yang dipilih ialah Khairi Hassan (BN-Mata AYer) selaku Pengerusi, Mansor Jusoh (BN-Chuping) dan Dr Por Choo Chor (BN-Indera Kayangan).

Sebelum ini, ura-ura melantik Rus'sele menganggotai salah satu jawatankuasa Exco kerajaan negeri ada disebut berkutan kenyataan daripada Menteri Besar, Dato' Seri Dr Md Isa Sabu.

Amalan melantik Adun PAS menganggotai jawatankuasa sedemikian bukanlah suatu yang baru bagi negeri Perlis.

Sebelum ini dua orang wakil PAS iaitu Cikgu Taharim Ariffin (Adun Utan Aji, 1964-1969) dan Cikgu Shuib Muhammad (Adun Bintong, 1982-1986) pernah dilantik menganggotai jawatankuasa sedemikian.

Ahad, 22 Jun 2008

Kes Sanglang, Pasir Puteh serupa, namun keputusan berlainan - Haron Din

Petikan HARAKAH

KOTA BHARU, - Keputusan Mahkamah Pilihan Raya di Perlis yang tidak mengembalikan kerusi Dun Sanglang kepada calon yang sepatutnya menang dianggap sesuatu yang pelik.

Ini kerana kes serupa pernah berlaku di kerusi Parlimen Pasir Puteh pada pilihan raya umum 2004 apabila mahkamah di sini mengembalikan kerusi tersebut kepada calon Barisan Nasional (BN), Dato' Che Min Che Ahmad.

Sedangkan pada pilihan raya ketika itu calon PAS, Hajah Kalthum Ahmad diisytiharkan menang oleh pegawai pengurus pilihan raya.

Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din berkata, dalam kes petisyen Dun Sanglang telah terbukti pegawai pengurus pilihan raya melakukan kesilapan sehingga mahkamah membuat keputusan kerusi itu perlu dikosongkan.

"Sekarang telah terbukti kesilapan dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya dan bukannya calon PAS atau Barisan Nasional. Namun peliknya yang salah tidak pula dihukum.

"Mengapa mahkamah mengambil jalan yang payah sedangkan kes serupa pernah berlaku di Pasir Puteh apabila mahkamah memberi hak kepada calon yang sepatutnya menang," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Kota Bharu di sebuah hotel di sini, hari ini.

Rabu lalu Mahkamah Pilihan Raya di Kangar memutuskan kerusi Dun Sanglang yang disandang calon BN, Abdullah Hassan perlu dikosongkan.

Bagaimanapun Hakim Dato' Zainal Adzam Abdul Ghani menolak permohonan calon PAS, Ustaz Hashim Jasin untuk mendapat pengisytiharan sebagai calon yang menang di kerusi berkenaan.

Menurut Zainal Adzam, mahkamah tiada hak untuk mengisytiharkan Hashim sebagai pemenang kerusi Dun berkenaan kerana Seksyen 35 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 tidak memberi bidang kuasa kepada mahkamah untuk berbuat demikian selepas dimansuhkan pada 2003.

Sehubungan itu, mahkamah menyerahkan kepada SPR untuk menentukan sama ada pilihan raya kecil perlu diadakan atau sebaliknya.

Pada pilihan raya umum 8 Mac lalu, Abdullah diisytiharkan menang dengan majoriti 149 undi setelah memperolehi 3,384 undi, manakala Hashim mendapat 3,235 undi.

Sepatutnya Hashim diumumkan menang kerana mendapat kelebihan 47 undi.

Dr Haron berkata, beliau bimbang perkara itu seperti disengaja kerana mahu memastikan Umno memenangi semula kawasan berkenaan melalui pilihan raya kecil yang bakal diadakan.

"Kalau macam itu mungkin kita boleh pulau pilihan raya yang bakal diadakan kot..," ujarnya.

Sebelum ini Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat juga melahirkan rasa hairan bagaimana kes petisyen Sanglang dan Pasir Puteh diputuskan berlainan sedangkan faktanya hampir sama.

Sementara itu, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Dato' Takiyuddin Hassan berkata, biar pun pembangkang di bawah Pakatan Rakyat menang besar pada pilihan raya umum lalu, namun masalah hubungan kaum tidak berlaku seperti peristiwa 13 Mei 1969.

Sedangkan katanya, pada pilihan raya umum 1969 pembangkang memenangi banyak kerusi sehingga akhirnya tercetus rusuhan antara kaum.

"Sedangkan pilihan raya umum yang baru lalu kemenangan pembangkang lebih besar lagi berbanding pilihan raya 1969, namun tidak berlaku masalah kaum.

"Ini kerana politik perkauman sudah lama berlalu kerana rakyat sekarang semakin matang berpolitik," katanya.

Beliau juga memberitahu kemenangan PAS dan KeADIlan di Kelantan pada 8 Mac lalu menyamai jumlah kerusi yang dimenangi pada pilihan raya 1990 iaitu 39 di peringkat Dun. - mj _

Selasa, 17 Jun 2008

KARNIVAL BERKHATAN DUN SIMPANG EMPAT


SIMPANG EMPAT - Sebagai satu usaha untuk memasyarakatkan PAS, Majlis Tindakan Dun Simpang Empat mengadakan Karnival Berkhatan beramai-ramai sempena musim cuti sekolah kali ini.


Program yang julung kali diadakan tersebut diadakan di Markas UPU Behor Mali dekat sini dengan disertai 17 orang kanak-kanak setempat.

Selain berkhatan, beberapa program lain turut diadakan bagi memeriahkan lagi suasana. Antaranya ialah program perubatan Islam percuma, pertunjukan pencak silat, persembahan marhaban serta kenduri rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri Simpang Empat, Rus'sele Eizan (gambar) dalam ucapannya ketika merasmikan program tersebut berharap agar program seperti ini akan dapat diteruskan pada masa-masa akan datang.

Selain itu katanya, program seumpama ini adalah sebahagian daripada usaha untuk mendekatkan lagi PAS dengan masyarakat di samping merupakan satu bentuk kebajikan.

"Kita harus berlumba-lumba untuk manambahkan amalan dan juga melakukan kebaikan tanpa mengira batasan agama, bangsa mahupun aliran politik," ujarnya

Isnin, 16 Jun 2008

Selamat Datang...

Selama datang kepada saudara/ri sekalian...Alhamduliilah, dengan terbinanya blog DPParau ini akan dapat memberi info yang berguna kepada anda. InsyaAllah ana akan usahakan update segala berita,rencana malahan apapun maklumat mengenai aktiviti yang dijalankan di kawasan arau..ahlan washlan....